untuk abah


untuk abah…by sepet gabra

 

Abah, maaf. Andai aku pernah menyusahkan. Tidak pernah terniat untuk aku berbuat begitu. Aku tahu, abah banyak korbankan pelbagai perkara semata-mata untuk aku. Untuk mama dan untuk kami. Semata-mata untuk sebuah keselesaan. Aku sedar semua itu. Abah, biarpun tidak pernah cukup bagi diriku, aku tahu bahawa tidak segalanya dapat aku pegang, tidak semua keinginan dapat aku gapai dan tidak setiap itu perlu aku sentuh. Aku belajar itu. Aku belajar untuk memilih kesederhanaan. Aku belajar itu dari abah.

Aku kagum dengan abah. Sangat kagum dengan apa yang abah lakukan. Biarpun kadangkala ia sepertinya berlebihan untuk aku, untuk mama dan untuk kami. Biarpun terkadang aku tidak pernah setuju. Walau pun selalu aku membangkang. Tetapi bangkangan dalam diamku. Aku tidak luahkan buat abah kerana aku tahu cara kita berbeza. Pandangan kita tidak sama. Pendapat kita juga lain. Kita melihat dari sudut yang berbeda. Zaman juga berbeda. Kerana menjaga hati abah adalah perkara terbaik untuk aku membalas tiap titik peluhmu. Diam merupakan  jalan terbaik buatku. Membuatkan abah tersenyum adalah cara aku menebus lelah letih diri abah. Tetapi satu yang aku pasti. Niat abah satu. Untuk kesempurnaan kita.

Abah, andai remaja aku dahulu, banyak keinginan yang ingin aku gapai. Namun seringkali terkubur kerana hati ini tidak pernah  pandai meminta. Abah ajarkan itu. Sehingga sekarang aku tahu semua itu tidak perlu untuk aku hidup sebenarnya. Sebetulnya, kasih sayang yang berputik itu cukup memberikan sebuah kehidupan yang hidup buat kita. Aku belajar semua itu darimu abah. Agar menjadi seseorang yang bertanggungjawab. Menjadi seorang yang baik budi dan menjadi seorang yang tahu berterima kasih dengan apa yang dipegang.

Maaf andai aku berterus terang. Antara anak-anakmu aku terasa terasing sebenarnya. Aku terasa sangat jauh darimu. Banyak perkara yang aku tiada bersamamu. Banyak masa bersamamu aku hilang. Terkadang cemburu memakan hati. Aku cemburu bila lawak tawa mu berkumandang bersama adik-adik. Aku dengki bila banyak masa terluah buat mereka. Aku juga ingin dimarahi seperti anak kecil. Tetapi tiada itu lagi. Abah, aku rindu untuk dimarahi juga ditegur salah silap. Caranya sangat berbeza berbanding yang lain. Ikhlas, aku marahkan diri ini kerana tidak pernah dekat denganmu. Kerana aku berjarak denganmu sangat lama. Kerana aku melata tinggalkan abah. Sebenarnya aku terasa banyak masa masa bersama, kita biarkan ia berlalu begitu sahaja. Kita biar kasih pergi tanpa belaian. Terkadang aku rindu untuk dibelai seperti yang lain. Terkadang aku ingin sangat dipeluk seperti yang lain. Tetapi segalanya itu sudah berlalu. Andai masa dapat kita kembalikan, aku pasti lakukan semua itu. Malah mungkin sekali lebih hebat dari itu.

Abah, aku mahu abah tahu bahawa aku sentiasa menyokongmu. Aku memahamimu dan seperkara yang aku tahu, banyak perkara yang berlaku kepadaku adalah aku warisi darimu. Dan ketahuilah biar apa pun berlaku, aku sayangkan abah. Kerana kata sayang dan ucapan sebegitu amat payah buat aku dan mungkin juga buat abah luahkan. Kerana kita sama. Ego seorang lelaki masih membata.

Biar pun tidak sesempurna kita, kita tetap bersama kerana kisah kisah manusia tidak setiapnya lengkap dan kisah kita tidaklah perlu sempurna..